28 Ogos 2011

Himpunan Hadis-Hadis

Memberi Ketika Ada
Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang mempunyai kenderaan yang melebihi dari keperluannya sendiri hendaklah bersedekah kepada orang yang tidak mempunyai kenderaan dan sesiapa yang mempunyai lebihan bekalan makanan hendaklah ia bersedekah kepada orang yang tidak mempunyai apa-apa bekalan makanan. Selanjutnya baginda menyebut bermacam-macam lagi harta benda yang baginda teringat hingga kami lihat bahawasanya tidak ada seorang pun dari kami yang benar-benar mempunyai kelebihan


Dari Abu Umamah al-Bahili r.a, katanya dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:Bacalah al-Quran kerana dia akan datang memberikan syafaat kepada pembacanya pada hari kiamat nanti. Bacalah Zahrawain, iaitu surah al-Baqarah dan Aali-Imran , kerana keduanya akan datang pada hari kiamat nanti seperti dua kumpulan awan menaungi pembacanya atau seperti dua kelompok burung yang sedang terbang dalam matlamat hendak membela pembacanya. Bacalah al-Baqarah kerana dengan membacanya beroleh berkat dan dengan tidak membacanya beroleh penyesalan dan pembacanya tidak dapat dikuasai (dikalahkan oleh tukang-tukang sihir). 

Usah Pentingkan Diri Sendiri
Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Bersabda Rasulullah SAW: Tiga macam orang bukan saja tidak akan mendapat layanan dan ampunan pada hari kiamat kelak, bahkan akan mendapat seksa yang pedih, iaitu seorang yang mempunyai kelebihan air di tengah padang pasir, sedangkan ia tidak mahu memberikannya kepada orang yang kehausan, seorang yang menjajakan barang dagangannya sesudah lewat waktu Asar sambil bersumpah dusta bahawa pokoknya sekian-sekian dan dipercayai oleh si pembeli dan seorang lagi yang membai'at pemimpin hanya untuk maksud manfaat keduniaan; apabila kelak maksudnya tercapai, ia patuh dan jika tidak, ia mungkir (berpaling tadah).
Pagar Diri Dari Maksiat
Dari Jabir r.a, katanya dia mendengar nabi s.a.w bersabda:Apabila ada di antara kamu yang tergoda hatinya kepada seorang wanita maka hendaklah dia pulang kepada isterinya untuk melepaskan rasa rindunya. Sesungguhnya yang demikian itu dapat mententeramkan gejolak hatinya.

Amalkan Membaca al-Quran
Dari Abu Musa r.a katanya, nabi s.a.w bersabda:Selalu-selalulah membaca al-Quran kerana demi Allah ia lebih cepat lepas daripada unta di tambatannya.
Jangan Suka Memberontak dan Menentang
Ibnu Abbas r.a menerangkan, bahawasanya Nabi SAW bersabda:Sesiapa yang tidak menyenangi kepala pemerintahannya hendaklah ia bersabar kerana sesungguhnya orang yang keluar dari mentaati pemerintahan nescaya dia mati sebagaimana mati di masa jahiliyah.
Jihad Kaum Wanita
Daripada Aishah r.a. katanya, aku berkata, Ya Rasulullah, kita mengetahui bahawa jihad adalah sebaik-baik amalan. Oleh itu apakah kami kaum wanita tidak boleh ikut berjihad? Baginda terus menjawab: Bagi kamu semua (kaum wanita) jihad yang paling baik ialah mengerjakan haji dan mendapatkan haji mabrur.

Mengerjakan Kewajipan
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Usaha yang halal adalah suatu yang fardhu selepas fardhu-fardhu yang lain.
Mudahkan jangan susahkan!
Abu Burdah r.a berkata :Rasulullah mengutus ayah ku iaitu Abu Musa dan Muaz ke Yaman, Nabi berkata:Mudahkanlah dan janganlah kamu menyukarkan, Gembirakanlah dan jangan kamu menyusahkan dan berseia sekatalah kamu.
Tipu Muslihat Dalam Peperangan
Jabir Ibnu Abdillah r.a berkata: Nabi SAW bersabda:Peperangan itu adalah tipu muslihat.

Perkara Yang Mula-Mula Diadili
Dari Abdullah r.a katanya:Rasulullah s.a.w bersabda:Perkara yang mula-mula diadili antara umat manusia kelak di hari kiamat ialah perkara penumpahan darah (pembunuhan)
Tujuh Golongan Insan Contoh
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah: Pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: Aku takut kepada Allah!, orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.
Setiap Amalan Bergantung Dengan Niat
Rasulullah saw. Bersabda yang maksudnya:
Sesungguhnya sah atau tidak sesuatu amalan itu, bergantung pada niat. Dan setiap sesuatu pekerjaan itu apa yang diniatkan. Maka sesiapa yang berhijrah semata mata taat kepada Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya itu diterima oleh Allah dan Rasulnya. Dan sesiapa yang berhijrah kerana keuntungan dunia yang dikejarnya, atau kerana perempuan yang akan dikahwini, maka hijrahnya itu terhenti pada apa yang ia niat hijrah kepadanya.

Keistimewaan wudhu' yang sempurna
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Bersabda Rasulullah s.a.w.: Luas telaga ku pada hari kiamat lebih dari jarak Ailah1) dan ˜Adan' airnya lebih jernih dari salju, lebih manis dari madu bercampur susu, bejana-bejananya lebih baik dari bintang di langit; Aku melarang umat selain umat ku yang akan datang minum di situ, sebagaimana seorang yang menjaga unta-unta orang lain yang akan minum dari telaganya; Ditanya Rasulullah s.a.w.: Dapatkah tuan mengenal kami ketika itu? Jawab Rasulullah s.a.w.: Ya, ialah dengan bekas wuduk yang gilang-gemilang di muka mu sebagai tanda yang diistimewakan dari umat-umat yang lain.

Nilai Seorang Manusia
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
Sesungguhnya Allah S.W.T tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda kamu tetapi Allah hanya memandang kepada niat hati dan amalan-amalan kamu.

Kunci Kemurahan rezeki
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:Berilah (belanjalah) dan jangan kamu selalu menutupi kepunyaanmu, kerana dengan itu nanti Allah akan menutupi rezekimu.
Islam dan Ekonomi Saling Memerlukan
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:Pada akhir zaman kelak manusia harus menyediakan harta untuk menegakkan urusan agama dan urusan dunianya.
Ingin melihat Tuhan?
Dari Abdullah bin Syaqiq, katanya: Kataku kepada Abu Zar: Sekiranya saya berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. nescaya kutanyakan kepada beliau suatu soalan. Kata Abu Zar: Tentang apa? Jawab Abdullah: Apakah tuan melihat Allah? Kata Abu Zar: Itu pernah ku tanyakan kepada beliau, dan dijawabnya: Saya hanya melihat sinar (nur).

Qana’ah
Dari Abdullah bin Amru bin ˜Ash r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:Sungguh amat beruntunglah orang yang Islam (berserah diri) dan merasa cukup dengan apa yang direzekikan Allah serta berpada dengan apa yang diberikan-Nya.
Kerana Jihad
Dari Jundub bin Sufyan r.a katanya: Jari Rasulullah s.a.w berdarah kerana luka dalam suatu peperangan. Maka bersabda Rasulullah s.a.w :Bukankah engkau hanya sebatang jari yang berdarah. Dan ini terjadi ketika engkau ikut berjihad fisabilillah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan